Suami yang layak ditaati isteri
Ada orang bertanya, mengapa Rasulullah tidak menyatakan secara jelas ciri-ciri lelaki yang seharusnya dipilih
oleh bakal isteri. Hadis secara jelas hanya menyebut ciri-ciri wanita yang lazimnya dicari oleh lelaki iaitu
yang beragama selain tiga lagi jika perlu.
Kalau lelaki diberi panduan untuk memilih wanita yang baik, mengapa tidak ada panduan untuk wanita bagi mencari
suami. Kata mereka, kalau ada panduan sudah pasti isteri tidak tersalah memilih suami pada masa hadapan.
Memang secara jelasnya Rasulullah tidak sebut kerana lazimnya lelaki sahaja yang mencari wanita. Tetapi sebenar
kalau wanita benar-benar hendak mencari bakal suami, mereka boleh ikut sepertimana Khadijah memilih suaminya,
Rasulullah.
Pada peringkat awalnya Khadijah menghantar perisik untuk melihat peribadinya secara lebih dekat. Perisik yang
adil sudah pasti akan membuat laporan yang betul mengenai apa yang dirisikkan itu. Hasilnya dia berjaya
berkahwin Muhammad dan ternyata pilihan itu terbaik.
Antara ciri-ciri yang dapat dikesan pada diri Muhammad pada waktu itu ialah:
1. Jujur lalu tidak mengambil kesempatan
2. Amanah dengan tugas
3. Pemalu dengan wanita
4. Beragama lalu takut kepada Allah
5. Boleh menjadi pemimpin.
Percayalah jika suami mempunyai ciri-ciri ini, pasti disenangi oleh isteri, malah saling hormat menghormati
sampai bila-bila masa sekalipun pada usia tua. Suami dalam keadaan itu tidak akan melakukan dosa baik sesama
manusia apatah lagi dengan AllahSWT.
Walau bagaimanapun, suami yang mempunyai ciri di atas perlu juga mencari wanita yang beragama bagi membentuk
rumah tangga yang damai bahagia. Gabungan inilah yang dikatakan serasi ataupun kufu.
Persoalan sekarang, wujudkah lelaki yang memiliki ciri-ciri di atas pada zaman ini? Bolehkah ditemui lelaki
sebegini di tepi jalan, di kebun bunga, di pasar dan seumpamanya? Hanya wanita yang agamanya kurang akan bertemu
jodoh di tempat-tempat berkenaan dan yang pastinya lelaki itu juga tidak menepati ciri-ciri di atas.
Inilah realiti yang berlaku pada hari ini, pasangan yang berkahwin dalam keadaan itu, bahagianya pada awalnya
sahaja tetapi bermasalah pada pertengahan jalan. Malah beberapa kes yang ditemui, pasangan itu tidak pandai atau
tidak mahu melakukan solat.
Jelas di sini, selain lelaki yang perlu mencari isteri yang beragama dan beriman selain kecantikan, berharta dan
berketurunan baik, wanita juga perlu pandai memilih bakal suami berdasarkan ciri-ciri di atas. Untuk itu, pihak
wanita juga perlu ada kumpulan perisik seperti yang dilakukan oleh Khadijah.
Apabila suami isteri sudah mengikut ciri-ciri di atas mereka perlu mengekalkan kedudukan itu sehingga ke akhir
hayat. Selain itu suami isteri boleh mengekalkan kebahagiaan yang dicapai dengan berpandukan hadis berikut:
Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang
maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya
apabila dia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan
hartanya” (Hadis Riwayat Muslim).
Isteri yang baik menurut hadis di atas ialah dia mesti bersedia mempamerkan persembahan yang terbaik untuk
suaminya sewaktu di dalam rumah. Maksudnya, apabila suami pulang rumah disambut oleh isteri dengan senyum mesra.
Dia menyediakan air minuman kerana kemungkinan suami dahaga. Suami dalam keadaan itu akan senang hati walaupun
mungkin terdapat masalah yang dihadapi sebelumnya. Masalah berat yang ditanggungnya dapat hilang apabila dilayan
sedemikian rupa.
Selain itu isteri terus memberi ketaatan kepada suami dalam semua keadaan terutama apabila diminta oleh suami.
Isteri itu juga tidak akan membantah kehendak suami selagi perkara yang disuruh itu tidak melanggar syariat.
Sungguhpun begitu, perkara yang penting dalam hal ini ialah isteri tidak membuatkan sesuatu yang tidak disukai
oleh suami. Jadi, semua yang hendak dilakukan isteri, dia akan meminta restu dan pandangan suaminya terlebih
dahulu.
Tiga perkara asas ini perlu dijaga oleh isteri dalam berhadapan dengan suami sama ada suami yang memenuhi
ciri-ciri di atas atau tidak. Mungkin tidak timbul masalah bila berhadapan dengan suami yang baik, tetapi
menjadi cabaran besar bila berhadapan dengan suami sebaliknya. Namun jika isteri dapat mendisiplinkan suaminya,
itulah kejayaan yang besar buatnya.
Sebagai contoh, suami melarang isterinya solat atau menutup aurat, dia boleh membantah dengan cara baik. Dia
tetap solat dan tetap menutup aurat dengan alasan perintah Allah. Lambat laun suami itu akan faham dan dia juga
akan turut melakukan solat secara istiqamah selepas itu.
Jadi, bagi mereka yang baru berkahwin dicadangkan supaya mereka saling menyenaraikan apa yang disukai oleh suami
dan isteri, juga apa yang tidak disukai kedua-duanya. Dengan cari ini mereka akan berhati-hati supaya tidak
melakukan perkara yang tidak disukai pasangannya.
Jun 3, 2009
untuk di kongsi
Posted by nuwen at 6:53 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment